KOTA BHARU, 30 Mac (Hrkh) - Anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah hari ini menerima anugerah Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K) yang membawa gelaran Dato'.
Anugerah itu dikurniakan sempena ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra kali ke-59 yang diadakan di Balai Besar.Mendahului penerima anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Seramai 641 menerima darjah kebesaran, bintang, pingat, surat kepujian dan Jaksa Pendamai.
Zahid yang juga Naib Presiden Umno penerima tunggal darjah kebesaran Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.J.M.K).
Selain itu Panglima Tentera Laut, Laksamana Dato' Seri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menerima Ahli Majlis Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (S.P.K.K).
Seramai enam orang menerima Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (S.P.S.K), antaranya, Pengarah Urusan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), Dato' Kamaruzaman Che Mat dan Mufti Negeri Kelantan, Dato' Mohamad Shukri Mohamad.
Anugerah yang sama juga turut dikurniakan kepada Timbalan Menteri dalam Negeri, Dato' Wira Chor Chee Heung.
Tahun ini, seramai 29 orang menerima anugerah Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (D.P.S.K).
Comments :
Post a Comment