Search This Blog

Sunday, March 29, 2009

Perarakan kereta berhias flora

KOTA BHARU, 29 Mac (Hrkh) - Perarakan kereta berhias flora akan menghiasi Pesta Flora 2009 yang didakan sempena perayaan ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra ke-59.

Program tersebut akan bermula Selasa ini dan berakhir 11 April depan. Perarakan itu membabitkan 10 kereta berhias dari 10 jajahan di negeri ini.

Manakala bagi pertandingan orkid penyertaan dibuka kepada peserta sama ada dalam atau luar Kelantan.

Kelainan pesta orkid tahun ini sempena genap 30 tahun pemerintahan Tuanku Ismail Petra.

Ia bertema 'Warna-Warni Keaslian Seni' di mana majlis perasmiannya akan disempurnakan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid bertempat di Taman Orkid Tengku Anis, Pengkalan Chepa.

Pertandingan lanskap pula bertemakan edible garden (taman ramuan). Sebanyak 12 pihak berkuasa tempatan di Kelantan menyertai pertandingan lanskap.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, penganjur juga bercadang menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada kanak-kanak sekolah mengunjungi Pesta Flora di Taman Orkid.

"Anugerah Raja Orkid Piala Tengku Anis juga diperkenalkan tahun ini sebagai penghargaan kepada pemenang bagi keseluruhan pertandingan bunga orkid," katanya di sini, baru-baru ini.

Pertandingan lain yang dianjurkan termasuk memancing, terrarium dan topiari. Lokasi menarik lain yang disediakan termasuk taman bunga ros, taman burung dan taman kaktus.

Di samping pasar minggu kraf dan flora, jualan dan input flora, pertandingan memasak ikan air tawar dan melukis kanak-kanak.

Juga bakal menjadi tarikan iaitu demonstrasi membuat kraftangan yang didatangkan dari negara Thailand.

Dijangka lebih 50,000 pengunjung mengunjungi Pesta Flora tahun ini yang dibuka mulai jam 10 pagi hingga 11 malam pada setiap hari.

Comments :

have 0 comments at “Perarakan kereta berhias flora”

isu semasa by pedagangsiber daripada pedagang siber